Tuesday, June 8, 2010

KEPERCAYAAN TENTANG SERAI WANGIOct 15, '07 10:41 PM
for everyone [Image]Pernah dengar tentang batu serai wangi?  Sesetengah masyarakat Melayu percaya sekiranya serai wangi sudah berbunga, di bawah rumpun serai wangi itu ada buntat atau batu hikmat.  Ada pula yang mengatakan, ada harta karun di bawah rumpun serai wangi yang sudah berbunga. Lebih menarik, serai wangi yang sudah berbunga dikatakan ada penunggu yang menjaganya.
Ramai orang yang mahu mengambil ‘harta karun’ atau batu serai wangi. Kata orang, mereka yang mahu mengambil ‘khazanah’ serai wangi akan bermimpi dahulu.  Ada pula yang mengamalkan amalan-amalan tertentu sebelum mencari ‘khazanah’ serai wangi.  Batu serai wangi dikatakan boleh menjadi buntat untuk tujuan perubatan.  Ada yang menyimpannya sebagai pelaris.  Ramai juga yang mencari keuntungan berlipat kali ganda kerana menjual batu serai wangi.
Namun ada orang yang mengatakan bahawa pemilik serai wangi yang terjumpa batu serai wangi itu tidak boleh menjual batu-batu itu.  Kata mereka, penunggu serai wangi akan mengamuk dan meminta tumbal. 
Batu Serai Wangi boleh dibuat cincin.  Ada yang mengatakan batu cincin itu akan mengeluarkan cahaya yang luar biasa pada saat-saat tertentu. Batu itu juga disebut akik dan dapat menghindarkan pemakainya daripada bahaya dan ilmu tuju.
Kata orang tua-tua, tidak semua orang boleh menanam serai wangi.  Serai wangi hanya boleh hidup, apatah lagi berbunga, jika ditanam oleh orang-orang yang tertentu sahaja.  Kita juga tidak boleh mencabut serai wangi sebarangan.  Hanya tuannya sahaja yang boleh mencabut serai wangi itu sebelum dibuat ubat atau diberikan kepada orang lain untuk ditanam.
Sebenarnya, kepercayaan tentang adanya satu kuasa luar biasa, mempengaruhi kehidupan manusia apabila manusia tidak dapat menangani hal-hal yang berlaku, di lautan juga di daratan, sama ada ia melibatkan kematian, penderitaan juga penyakit. 
Batu-batu serai wangi yang dijelaskan tadi sebenarnya merupakan objek alam yang tidak mempunyai kuasa, menyebabkan kecelakaan ataupun tuah. Akik sebagai buntat atau geliga tidak boleh menyebabkan pemakainya kebal, terhindar daripada kecelakaan atau perniagaan menjadi laris apabila bahan tersebut digunakan sebagai pelaris.
Walaupun demikian, sekiranya bahan-bahan tersebut dipuja pada waktu-waktu tertentu, yang disertai dengan pemujaan jampi mantera, tidak mustahil
kepercayaan itu berlaku kerana terdapat campur tangan unsur ghaib seperti jin dan syaitan.  Justeru, tidak mustahil batu serai wangi diletak di bawah rimbunannya oleh makhluk seperti jin yang berupaya berbuat demikian dengan izin Allah.
Apa itu Serai Wangi?Serai wangi ialah rumput saka yang tinggi dan berbau wangi.  Ia mengeluarkan rumpun daun yang lebat daripada rizom yang padat dan boleh membesar sehingga 1-1.5 m tinggi.
Bahagian yang digunakan ialah daun sesil yang berwarna hijau dan licin.  Purata saiz ialah 60cm panjang x 2.5cm lebar.  Daun serai wangi tirus dan hujungnya runcing. Daunnya berwarna hijau muda, kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika dibandingkan dengan serai sayur. 
Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.
Batang serai wangi bukanlah batang tulen, tidak seperti serai sayur.  Sarung daun serai wangi berperanan sebagai batang palsu.  Akar serai wangi pula padat dan merayap, berwarna kekuningan.
Kematangan serai wangi adalah antara 2.5 - 3 bulan.  Cara mengutip hasil serai wangi adalah, bahagian hasil dikerat 5cm atas pada batang palsu.  Daun kemudian dijemur layu sehingga kandungan air dikurangkan sebanyak 30-50% sebelum diproses untuk mengeluarkan pati minyak. Kutipan hasil berikutnya dilakukan selepas jangka masa 1.5 bulan.
Khasiat Serai WangiDari segi ubatan tradisional serai wangi digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusan serai wangi dan dicampur gandarusa serta daun sirih sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. 
Serai Wangi juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut.  Di beberapa negara, serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak patinya. 

No comments:

Post a Comment